Wednesday, October 27, 2010

Halalkah mewarisi harta haram? (bhg 1)

بـــسم الله و الصلاة و السلام على رسول الله

Berikut adalah nukilan dari ulama tentang hukum harta yang diperolehi secara haram oleh seseorang ketika hidupnya, kemudian dia meninggal dunia, apakah harta tersebut menjadi harta pusaka? Halalkah ahli warisnya mewarisinya?

Masalah ini dirasakan penting untuk diketahui kerana banyaknya sumber haram dizaman kita. Wang riba yang diperolehi dari bank yang dinamakan secara dusta sebagai “ interest “ atau “ faidah “ atau “ hadiah dan hibah “ begitu juga wang insurans hampir tidak terlepas dari memasuki harta atas nama milik seseorang...

Tulisan ini akan memuatkan pembahasan harta haram yang jadi pusaka secara khusus. Penulis sedar bahawa ruang pembahasan yang berkaitan dengan hukum-hakam harta haram amat luas. Tidak mampu rasanya memuatkan keseluruhannya. Namun menurut pepatah : “ Apa yang tidak dapat dilakukan seluruhnya tidak ditinggalkan kesemuanya. “...wa billahi nasta'ain...

1) Mazhab Hanafi

 Berkata Ibnu A'bideen al-Hanafi rhm :

((أن الوارث إن علم أرباب الأموال وجب رده عليهم, و إلا فإن علم عين الحرام لا يحل له و يتصدق به ينية صاحبه. )) حاشية رد المحتار على در المختار 5/104
    ((Jika waris mengetahui pemilik harta ( haram ) wajib dia kembalikan kepada mereka, jika tidak, tetapi mereka mengetahui a'in harta haram, tidak halal baginya ( bahagian itu ) dan hendaklah dia mensedekahkannya atas nama pemilik sebenarnya. ))

2) Mazhab Maliki  

Berkata Ibnu Rusyd al-Maliki rhm :

(( أما الميراث فلا يطيب المال الحرام هذا هو الصحيح الذي يوجب النظر, و قد روي عن بعض من تقدم أن الميراث يطيبه للوارث و ليس ذلك بصحيح )) المقدمات و الممهدات 2/617

(( Adapun pusaka, maka ia tidak membaiki harta yang haram, inilah yang sohih yang diwajibkan secara nazor, telah diriwayatkan dari mereka sebelum ini bahawa pusaka membaikinya untuk waris, dan yang demikian itu tidak sohih. ))

3) Mazhab Syafie'y 

  Berkata Imam Nawawi as-Syafiey rhm :

(( من ورث مالاً و لم يعلم من أين اكتسبه مورِّثه أمن حلال أو من حرام و لم تكن علامة فهو حلال بإجماع العلماء, فإن علم أن فيه حراماً و شك في قدره أخرج الحرام بالاجتهاد )) المجموع 9/428
    (( Siapa yang mewarisi harta sedangkan dia tidak tahu dari manakah simati mendapatkannya, adakah dari yang halal atau dari yang haram, dan tiada tandanya, maka ia halal menurut Ijma' ulama. Jika dia mengetahui bahawa ada yang haram tetapi dia ragu2 jumlahnya, maka hendaklah dia keluarkan (kadar) yang haram mengikut ijtihadnya. 
4) Mazhab Hanbali
     Berkata al-Mawardi al-Hanbali rhm :
    (( فيمن ورث مالاً فيه حرام : إن عرف شيئاً بعينه ردّه, و إن كان الغالب على ماله الفساد : تنزّه عنه )) الإنصاف 8/323
    (( Barangsiapa yang mewarisi harta yang ada didalamnya( yang haram, jika dia mengetahui sesuatu secara a'innya, hendaklah ditolak, jika kebanyakan hartanya dari jalan yang rosak ( haram ) : hendaklah dia meninggalkannya kerana membersihkan dirinya dari harta itu. ))

(5) Ibnu Taimyah rhm telah ditanya tentang seorang yang memakan riba meninggalkan harta dan anak sedangkan dia mengetahui keadaannya, apakah halal bagi anak itu secara pusaka atau tidak?

Beliau menjawab : (( Adapun kadar yang anak itu tahu ia adalah riba, maka hendaklah dia keluarkannya, samada dikembalikan kepada pemilik2nya jika mungkin, jika tidak, hendaklah dia mensedekahkannya, yang baki tidak haram atas anak itu, tetapi kadar yang samar2 disunatkan agar ditinggalkan jika tidak wajib digunakan untuk membayar hutang atau memberi nafkah kepada keluarga. ))

(( أما القدر الذي يعلم الولد أنه ربا فيخرجه, إما أن يرده إلى أصحابه إن أمكن و إلا يتصدق به و الباقي لا يحرم عليه, لكن القدر المشتبه يستحب له تركه إذا لم يجب صرفه في قضاء دين أو نفقة عيال... )) مجموع الفتاوى 29/308


Dalil2 Ulama :

  1. Harta haram tidak masuk didalam hak milik seorang muslim jika diusahakan dari jalan haram. Oleh kerana harta yang sampai kepadanya ketika hidup dari jalan haram, maka ia tidak masuk dalam hak miliknya dan tangannya atas harta tersebut adalah tangan perampas ( يد غصب ). Oleh kerana syarat sah hak ahli waris kepada harta pusaka adalah simati ketika hidupnya pemilik harta yang diwarisi, harta haram itu tidak halal diwarisi.

  2. Kematian tidak membaiki harta haram, kematian tidak mengeluarkan harta yang diambil dari hak milik pemiliknya secara zalim dan aniaya lalu memasukkannya kedalam hak milik simati. Kemudian pula kematian tidak mengubah hakikat bahawa harta itu telah diambil secara haram dari pemilik sebenarnya. Maka tidak boleh dikatakan bahawa warisan adalah sebab membolehkan ahli waris mewarisi harta yang ditinggal simati sedangkan mereka tahu bahawa sumbernya haram. Bahkan wajib bagi mereka mengembalikannya kepada pemiliknya agar gugur tanggungjawab simati.

  3. Harta haram ditangan simati dianggap hutang yang ditanggungnya sampai hari kiamat sehinggalah hutang itu dilangsaikan. Sebab itu Nabi SAW enggan mensolatkan atas jenazah yang menanggung hutang sehinggalah dilangsaikan. Oleh itu apakah hak ahli waris mewarisi harta itu sedangkan syarat pusaka adalah dilangsaikan semua hutang simati?

  4. Dari Anas bin Malik r.a bahawa Abu Talhah r.a ( bapa tiri Anas ) telah bertanya Nabi SAW tentang anak2 yatim yang mewarisi arak?
Jawab Nabi SAW : “Tuang dan buangkan”.
Beliau berkata : “ Apakah tidak boleh aku jadikannya cuka? “
Jawab Nabi SAW : “ Tidak “ [ Abu Daud 3658 ].

Wajhu Istidlal :

Nabi SAW telah melarang diwarisi arak kerana ia haram. Nabi SAW juga tidak benarkan dibuatkan cuka sehingga ia menjadi a'in yang mubah yang boleh dimanfaatkan anak2 yatim yang mewarisi. Ini menunjukkan bahawa harta yang haram tidak boleh dimiliki kerana ia haram, samada ia haram a'innya atau haram cara mendapatkannya ( اكتساب ).

Sebagaimana ia tidak masuk dalam hak miliknya ( simati ketika hidupnya ) secara permulaan( ابتداءً ), maka ia tidak masuk dalam hak milik ahli warisnya secara kesudahan ( انتهاءً ).

4) Firman Allah A'zza wa Jalla (( وَ مَن يَغْلُلْ يَأتِ بِما غَلَّ يَوْمَ القِيامَةِ ))

(( Siapa yang mencuri harta rampasan perang dia akan datang dengan curiannya pada hari kiamat )) [ Ali I'mran : 161 ]

Ayat ini dalil bahawa harta rampasan perang yang dicuri sebelum dibahagikan (ghulul) adalah harta haram.

Berkata Imam al-Qurtuby rhm ketika mentafsirkannya : “ Ulama telah ijma' bahawa wajib bagi pencuri harta ghanimah memulangkan semua yang dicuri kepada pembahagi harta ghanimah sebelum mujahidin bersurai jika boleh. Jika dia melakukan demikian itulah taubatnya dan keluar dia dari dosanya. Mereka berselisih pendapat jika askar telah bersurai dan dia tidak dapat bertemu dengannya. Berkata sekumpulan ulama : Hendaklah diserahkan kepada Imam 1/5 darinya dan disedekahkan bakinya. Ini adalah mazhab Zuhry, Malik, Auzai'ey, Al-Laith, At-Tsaury, dan diriwayatkan dari U'badah bin Somit, Mu'awiyah dan al-Hasan al-Basri, dan ia menyerupai mazhab Ibnu Mas'ud dan Ibnu A'bbas, mereka berdua berpendapat agar disedekahkan harta yang tidak diketahui pemiliknya dan ia adalah mazhab Ahmad bin Hanbal. Berkata Syafi'ey : Dia tidak boleh sedekahkan harta orang lain.

Tetapi berkata Imam ibn Abdil Bar: “ Menurutku, ini jika dia mampu mendapatkan pemilik harta atau warisnya. adapun jika dia gagal, maka Syaf'iey tidak memakruhkan mensedekahkannya ketika itu insya Allah. Sesungguhnya mereka telah ijma' dibolehkan mensedekahkan harta luqatah ( barang jumpaan ) selepas mengiklankan mencari pemiliknya namun gagal mendapatkan pemiliknya ..., ” [ Ahkamul Quran : 4/258 ]

Jelas disini para ulama telah mengkiyaskan hukum harta curian ghanimah dengan harta rampasan yang tidak diketahui pemiliknya iaitu ia tidak boleh dimilik. Samada dipulangkan atau disedekahkan. Asal usul mensedekahkan pula adalah ijma' ulama bahawa boleh disedekahkan harta luqatah yang tidak diketahui pemiliknya. Maka begitu juga harta haram yang ditingalkan simati sebagai pusaka dikiyaskan dengan harta2 yang bukan milik sah ditangan seseorang. Dan kiyas ini adalah kiyas aulawy, jika ia tidak boleh dimiliki oleh simati lebih2 lagi ia tidak boleh dimiliki oleh ahli warisnya .


Menjawab syubhat

Berkata sebahagian orang : “ Bukankah yang berdosa mengambil harta secara haram itu adalah simati, waris tidak berdosa? “

Jawab :

Sebagai menjaga amanah ilmiah kita katakan, terdapat segelintir ulama yang berhujjah seperti diatas. Mereka adalah, az-Zuhry, al-Hasan Al-Basry, Sufyan at-Tsaury dan Sahnun al-Maliki.[Ahkam al-Mal al-Haraam: 75 ].  Kata2 diatas benar jika siwaris tidak mengetahui langsung bahawa adanya harta haram dalam pusaka. Masalah kita adalah waris tahu. Yang dimaafkan adalah bila waris tidak tahu. Syariat tidak akan menyamakan antara orang yang tahu dengan yang jahil. Bagaimana siwaris boleh mengambil harta yang diketahui bukan milik simati tetapi milik orang lain? Maka yang wajib adalah dibetulkan kesalahan simati, harta haram itu Allah tidak redha untuk simati, Allah hanya meredhai harta yang diterima dari jalan halal, maka hendaklah dipulangkan harta tersebut jika berkemungkinan, jika tidak, ia mesti dipulangkan kepada Allah kerana Dialah pemilik asli harta2 ini. Oleh kerana Allah Maha Kaya, maka ia dilepaskan sebagai sedekah kepada fakir miskin.

Ada juga yang mengatakan jika boleh bagi seseorang menerima harta yang haram dari orang kafir yang makan riba, jual beli arak dll, yang berdosa adalah dia, tetapi kita menerimanya secara hibah yang halal. Mengapa waris tidak boleh menerimanya?

Sebenarnya ini juga adalah satu qiyas ma'al faariq, harta yang dimiliki orang kafir berbeza hukumnya dengan harta yang dimiliki oleh orang Islam. Terdapat dalil2 yang jelas bahawa dikecualikan harta orang kafir yang dimiliki secara haram dalam hal ini. Ia mungkin dapat dimuatkan dalam pembahasan lain. Disana juga terdapat pembahasan tentang hukum orang yang masuk Islam, bagaimanakah hukum harta yang diperolehinya ketika kafir. Satu lagi pembahasan adalah tentang hukum seorang Islam yang jahil  hukum beberapa aqad yang diharamkan. Begitu juga tentang harta haram setelah seseorang itu bertaubat. Maksud dari tulisan ini hanyalah tentang pewarisan harta haram secara umumnya dimana harta itu masih dihukumkan sebagai harta haram.

Ada juga yang berkata : “ Bagaimana jika ahli waris memerlukan kepada harta pusaka itu? Bukankah ia termasuk maslahat mereka ?

Jawab :

Siapapun biasanya akan pandai memikirkan keperluan2 apabila harta telah didepan mata. Maka kita jawab, jika ahli waris termasuk orang yang bertakwa, hendaklah dia berusaha mencari harta yang halal. Allah akan cukupkan keperluannya dari yang halal dan baik.

Tetapi waris yang fakir miskin berhak menerimanya untuk keperluannya, bukan sebagai pusaka, tetapi sebagai sedekah atas nama pemilik aslinya menurut jumhur ulama. Ini telah dinukilkan diatas.

Wallahu A'lam

No comments:

Post a Comment