Friday, October 22, 2010

Pemerhatian rapi antara Nomination, Hibah dan Wasiat

Bismilah was solaatu was salaamu a'la Rasulillah,

Tujuan tulisan ini adalah untuk melakukan perbandingan rapi antara Nominasi CPF,Hibah dan Wasiat.


Sebagai pendahuluan, dinukilkan dibawah soalan dan fatwa resmi tahun 1971 ini :


Soalan :


Dalam borang Tabing Simpanan Pekerja ( CPF suami saya, nama saya tercatit sebagai penama( nominee ). Adakah wang Tabung Simpanan Pekerja suami saya itu menjadi hak saya sendiri atau menjadi harta pusaka?


Jawaban :

Menurut hukum syarak, wang Tabung Simpanan Pekerja termasuk daam tarikah ( pusaka ) si mati yang mesti dibahagikan kepada waris-waris mengikut Hukum Faraid.

Penama ( Nominee ) yang dibuat oleh pencarum Tabung Simpanan Pekerja adalah selaku "Wakil" sahaja. Dia tidak mendapat apa-apa kecuali jika dia adalah seorang waris si mati, maka dia berhak mendapat sebahagian daripada harta pusaka itu menurut Hukum Faraid.

Pemerhatian lebih  rapi antara Nomination, Hibah dan Wasiat

No
Perkara
Hibah
Nomination
Wasiat

1
Harta milik peribadi
Ya
Ya
Ya
2
Masih menjadi hak milik pemberi selagi belum qabdh ( Terima secara zahir )
ya
Ya
Ya
3
Boleh ditarik balik/ditukar nama penerima sebelum diterima (qabadh)
Boleh
Boleh
Boleh
4
Boleh diberikan kepada waris
Ya
Ya
Tidak
5
Tiada had jumlah yang diberikan
Ya
Ya
Tidak melebihi 1/3 dari keseluruhan harta
6
Diterima hanya selepas mati
Tidak
Ya
Ya
7
Harta yang sudah ada ditangan pemberi
Ya
Tidak
Tidak
8
Pindah hak milik tanpa bayaran
Ya
Ya
Ya
9
Disyaratkan qabul dari penerima ( aku terima )
Ya ( mazhab Syafiey dan jumhur)
Tidak
Tidak
10
Harta milik sempurna yang tidak dibekukan
Ya
Tidak. CPF memang adalah wang yang dibekukan melainkan untuk kegunaan yang dibenarkan mengikut undang2 CPF seperti rumah HDB, kesihatan. Undang2 CPF melarang ianya dikeluarkan sebelum masanya untuk dihibahkan.
Tidak syarat. Selepas mati semua pembekuan terangkat.

Kertas Fatwa Sep 2010 telah berkata : “ Pemerhatian rapi terhadap syarat2 Akad Hibah membuktikan bahawa kebanyakan dari syarat2 yang terkandung di dalam CPF Nomination telah dinyatakan di dalam akad Hibah.

Ia kemudian menyenaraikan perkara 1 hingga 7 diatas.

Terdapat persoalan disini, bukankah seharusnya dilakukan sekaligus perbandingan “rapi” antara Nominasi dan Wasiat ? Bukankah perlu dibuktikan bahawa Nominasi sekarang lebih sama dengan Hibah dari dengan Wasiat? Kenapa wasiat? Sebab ia adalah dapatan fatwa yang rapi lagi teliti pada tahun 1971. Sesuatu yang didapati dengan teliti perlu dibantah dengan satu kajian yang teliti juga.

Oleh kerana itu kami menyeneraikan juga perbandingan tersebut agar jelas bagi pembaca. Kami juga menambahkan 3 perkara lagi yang kami rasa penting dijadikan bahan perbandingan.

Seyogia ingin kami katakan bahawa perbandingan adalah kaedah yang diguna pakai untuk menetapkan hukum terhadap sesuatu yang dipertikaikan, ia adalah ilmu “ Asybah wan Nazoir “. Ia sejenis qiyas.

Analisa Perbandingan

Dari 10 perkara yang dijadikan perbandingan kita dapati :

Antara Nomination CPF dan Hibah

Jumlah persamaan : 6
Jumlah perbezaan : 4

Antara Nomination dan Wasiat

Jumlah persamaan : 8
Jumlah perbezaan : 2

Ertinya jumlah persamaan antara Nomination dan wasiat lebih banyak. Nomination juga memiliki beberapa persamaan dengan Hibah.

Namun dari 6 persamaan antara Nomination dan Hibah, 4 darinya sebenarnya juga bersamaan dengan Wasiat. Ia adalah :

1- Harta milik peribadi
2- Pindah hak milik tanpa bayaran
3- Boleh ditarik balik sebelum diterima (qabadh)
4- Masih menjadi hak milik pemberi selagi belum qabdh ( Terima secara zahir )

Hanya 2 persamaan antara Nomination dan Hibah yang berbeza dengan Wasiat.

Dari jumlah sahaja jelas bahawa seharusnya seorang yang adil akan menghukumkan Nomination dengan hukum Wasiat kerana terlalu banyak persamaannya.

Maka fahamlah kita mengapa fatwa tahun 1971 menghukumnya sebagai “ tarikah “, iaitu harta pusaka. Oleh itu mengikut fatwa itu, nominee hanya sebagai trustee mengikut hukum Islam, haram dia mengambilnya. Tetapi jika dia juga seorang waris, dia hanya boleh mengambil bahagiannya mengikut pembahagian faraid. Penamaannya dianggap "null and void ".

Maka apakah yang mendorong perubahan fatwa itu?

Mengikut hukum fiqh, sesuatu hukum boleh berubah dengan berubahnya sebab fatwa itu dikeluarkan. Ini dinamakan ( مناط الحكم )manaatul hukum. Contohnya New Water dihukum suci kerana tiada lagi sebab ia dihukum najis.

Apakah telah berubah jumlah2 tadi? Tidak.
Apakah telah hilang persamaan antara Nomination dan Wasiat? Tidak

Mari kita periksa 2 persamaan antara Nomination dengan Hibah yang berbeza dengan Wasiat :
  1. Boleh diberikan kepada waris
  2. Tiada had untuk pemberian

Kita sama2 tahu bahawa dua perkara diatas tidak diambil kira sebagai perkara yang mempengaruhi hukum. Pada tahun 1971 hal ini diketahui tetapi dengan jelas ia tidak diendahkan. Mereka tahu bahawa ia hanyalah undang2 dari CPF, bukan dari hukum Islam.

Jika diberi pilihan ramai yang akan ingin bebas mengambil wang CPF bila2 masa. Tidak ramai yang rela wang titik peluhnya dibekukan.

Sekarang, mari kita teliti apakah 2 perkara utama yang ditonjolkan dalam kertas kerja Fatwa terkini sebagai sebab perubahan fatwa.

  1. Perubahan kepada polisi CPF berkaitan dengan ' minimum sum '
  2. Khilaf ulama tentang batal (faskh) atau tidak sesuatu hibah dengan kematian pemberi.

Ketika fatwa dikeluarkan tahun 1971, tiada 'minimum sum' diperkenalkan. Menurut text fatwa ia baru diperkenalkan pada tahun 1987, kemudian dinaikkan jumlahnya bertahap2 beberapa kali.

Kita dapati bahawa perubahan polisi dan bertambahnya ' minimum sum ' sedikitpun tidak merubah status nomination CPF menjadi hibah. Bahkan sesiapa dapat melihat bahawa seharusnya polisi baru ini hanya menguatkan fatwa lama, bahawa semakin beku wang CPF, ertinya semakin berkemungkinan lebih besar jumlah wang tersebut hanya akan keluar selepas kematian pemberi. Dan harta selepas kematian seseorang adalah harta pusaka.

________________

Fatwa terkini juga menonjolkan khilaf ulama tentang batal atau tidak hibah dengan kematian pemberi.

Sekali lagi seorang penuntut ilmu tertanya2 :

  1. Apakah fatwa ingin berhujjah dengan khilaf ?
  2. Apakah sebelum ini ( 30 tahun) fatwa tidak sedar wujudnya khilaf ini lalu kemudian disedari dan diubah fatwa kerananya?
Sedikit tentang khilaf ulama tersebut :

Pertama adalah masalah “qabdh”. Menurut jumhur ulama bersama mereka Mazhab Syafiey mensyaratkan agar penerima menerima hibah tersebut secara zahir dan jelas barulah aqad hibah itu sah dan lazim. Adapun setakat janji mulut atau tulisan tidak memadai. Harta belum pindah hak milik walaupun ada didepan mata selagi belum pindah tangan. Dalam mazhab Hanbali lebih keras. Ia bukan sekadar pindah tangan, mereka syaratkan pemberi mengizinkan ia dipegang dan diambil. Yang khilaf dalam masalah ini adalah mazhab Maliki, yang bukan merupakan mazhab rasmi Singapura. Disini bukan tempatnya mentahqeeq masalah ini. Namun yang rajih adalah disyaratkan “ qabdh “ agar akad hibah menjadi lazim sebagai mana pendapat Jumhur. Selagi belum diterima secara jelas hibah itu bukan milik kita.

Sebab itu seseorang tidak boleh menjual kereta dan berkata kepada pembeli, “ Kereta ini milik Fulan akan dihibahkan kepadaku. Belum tukar nama, belum serah kunci. Aku jual engkau dengan harga sekian2. “

Kedua adalah masalah kematian pemberi.

Ulama khilaf apakah aqad hibah yang belum diterima (qabadh ) oleh penerima fasakh atau tidak?

Gambaran masalah yang terdapat dalam kitab2 ulama adalah berkaitan seseorang yang telah melafazkan ijab hibahnya kepada penerima, harta tersebut ada depan mata, boleh diserahkan sekarang tetapi belum sempat diterima, sipemberi meninggal dunia.

Telah disebutkan dalam text fatwa bahawa dalam masalah ini mazhab Syafi'ey mempunyai 2 pendapat :

pertama : hibah itu fasakh, kerana aqad hibah aqad yang jaiz, seperti aqad pinjam-meminjam bila mati salah seorang daripada mereka, batallah aqad itu. Dengan kematiannya hibah itu milik ahli waris.

Kedua : hibah itu tidak fasakh, dengan syarat ahli waris mengizinkan penerima menerima hibah simati. Jika mereka tidak mengizinkan tiada hibah, ia milik waris. Imam Nawawi mengatakan pendapat ini lebih sahih ( أَصَح ).

Dari penerangan ini, kita tidak mengetahui bagaimanakah khilaf ini dapat mempengaruhi hukum dan selanjutnya fatwa? Ia bukan satu elemen yang baru dalam CPF. Dan yang lebih penting lagi ia tiada kaitannya dengan nomination. Ulama zaman dahulu yang khilaf tidak memaksudkan hibah harta yang beku seperti CPF. Hartanya yang ingin dihibahkan ada dalam tangan sekarang, seperti harta2nya yang lain, dia ingin menghadiahkannya ketika hidupnya, ketika sihat wal- a'fiat, tetapi tiba2 ajal menjemput. Bndingkan dengan orang yang membuat nominasi CPF. Niatnya dia tahu bahawa harta CPF ini akan diterima nominee selepas kematiannya.

Apakah secara akademik seseorang dapat menggunakan khilaf ini sambil mengetepikan perkara2 lain? Yang lebih lemah lagi adalah fatwa terkini tidak mensyaratkan izin waris sedangkan itu boleh dilakukan dalam fatwa, sebagaimana ia telah mensyaratkan agar tiada berlakunya kezaliman terhadap ahli waris. Apakah kerana ingin menyesuaikan dengan hukum sivil? Jika benar, sejak bilakah hukum Allah mesti ditundukkan kepada hukum sivil ?


Selain dari itu text fatwa ada juga menonjolkan dakwaan bahawa nomination adalah satu aqad yang baru dalam sejarah manusia, belum pernah wujud pada zaman para fuqaha'. Oleh kerana nomination termasuk urusan mua'malat, bukan ibadat, maka bila kita tidak dapat mencari “ nazheer “ nya iaitu sesuatu yang sepertinya dalam syariat, asal hukum muamalat adalah harus, apalagi bila kita lihat kepada maslahatnya. Kemudian mereka cuba menerangkan contoh maslahat menjadikan nomination sebagai hibah biasa.

Perlu kepada tulisan khusus membahaskan maslahat menghibahkan CPF selepas mati.

Bagi siapa yang mengikuti tulisan ini dari awal pasti akan faham lemahnya dakwaan ini. Sebabnya :

  1. Fatwa ini seolah2 mengatakan mereka sekarang tidak tahu contohnya dalam syariat, sedangkan sebelum ini fatwa secara tegas dan yakin tahu bahawa nomination ini bukan hibah. Tanpa teragak2 mereka menfatwakan bahawa ia adalah “ tarikah” ( pusaka ).

  2. Maslahat yang didakwakan seperti anak angkat, ibu tunggal,dll juga wujud 30 tahun yang lalu. Tetapi ia tidak diendahkan. Mengapa? Sebab maslahat ini adalah maslahat mulghoh, maslahat yang dibatalkan syariat. Maslahat syariat adalah pada hukum faraid yang difardukan. Bahkan maslahat menghibahkan (wasiat) kepada waris yang memerlukan atau lebih dari 1/3 harta kepada bukan waris adalah satu maslahat yang diketahui Allah yang menciptakan manusia sebelum 2010, sebelum 30 tahun bahkan sebelum diciptakan langit dan bumi.. Jika ia benar satu maslahat yang diakui Tuhan, tentu Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Bijaksana akan mengatakan faraid itu tidak wajib, kamu ada pilihan, nak faraid boleh, nak hibah boleh, nak nuzriah boleh, nak hibah ruqba boleh. Pilih mana yang kamu suka, asalkan jangan menzalimi hak orang. Nak tahu awak zalim atau tidak kena tanya hati sendiri, Islam tidak tetapkan. Jika kamu rasa zalim, zalimlah ia, jika tidak, tidak.
Kita tidak pernah bertemu dengan mana2 pendapat ulama bahawa jika seseorang tidak tahu maslahat hartanya maka ketika itu baru faraid menjadi wajib, jika dia tahu maslahatnya, faraid tidak wajib.

Jika kelapangan mungkin akan disyarahkan hadith Sa'ad ibn Abi Waqqas r.a ketika Nabi SAW bersabda kepada beliau yang ingin meng'hibah'kan hartanya selepas matinya : “ Sepertiga, dan sepertiga itu banyak ...” Apakah Nabi SAW terlupa tentang instrumen lain selain Faraid dan Wasiat ? 
 
Wa a'khiru da'waana anil hamdulillah Rabbil A'lameen

1 comment:

  1. barakallahu fieka ustadz,

    semoga anta dikurniakan Allah kesihatan dan kelapangan utk meneruskan kajian ilmiah ini dan mensyarahkan hadis berikutnya...
    InsyaAllah kami nantikan....

    ReplyDelete