Thursday, November 4, 2010

Hadith Sa'ad ibn Abi Waqqas r.a

بـسم الله و الصلاة و السلام على رسول الله

Dibawah ini dikumpulkan secara ringkas beberapa faidah dari hadith Sa'ad bin Abi Waqqas r.a berkaitan wasiat. Hadith ini dijadikan bahan kajian oleh para ulama dari dahulu. Pelbagai faidah ilmiyyah telah dicungkil darinya. Hatta al-Imam al-Bukhary telah menempatkan hadith ini dalam pelbagai bab didalam kitab Sohihnya. Hadith ini diriwayatkan dengan lafaz pelbagai, namun zahirnya ia adalah kisah yang berlaku sekali ketika Sa'ad bin Abi Waqqas sakit kuat diMekah pada zaman Haji Wada'. Dan kita tahu Haji Wada' dikerjakan Nabi SAW pada tahun kesembilan Hijrah, baginda wafat kira2 tiga bulan kembalinya beliau keMadinah.

Jika ada sesuatu yang ingin dijadikan dalil pemutus, inilah hadithnya, jika ada dalam Sunnah Nabi SAW yang layak memansukhkan hukum inilah hadithnya, amat jauh dari sudut kebiasaan sesuatu hukum yang baru disyariatkan dimansukhkan dalam masa2 akhir zaman tasyri' ini.

جاءنا رسول الله صلى الله عليه وسلم يعودني من وجع اشتد بي ، زمن حجة الوداع ، فقلت : بلغ بي ما ترى ، وأنا ذو مال ، ولا يرثني إلا ابنة لي ، أفأتصدق بثلثي مالي ؟ قال : ( لا ) . قلت : بالشطر ؟ قال : ( لا ) . قلت : الثلث ؟ قال : ( الثلث كثير ، أن تدع ورثتك أغنياء خير من أن تذرهم عالة يتكففون الناس ، ولن تنفق نفقة تبتغي بها وجه الله إلا أجرت عليها ، حتى ما تجعل في في امرأتك ) .

Imam al-Bukhary rhm telah meriwayatkan dengan sanadnya dari A'amir bin Sa'ad dari bapanya Sa'ad bin Abi Waqqas r.a dia berkata : (( Rasulullah SAW telah datang kepada kami menziarahiku ketika aku sakit kuat pada Haji Wada', maka aku berkata : Ya Rasulullah, sakitku telah sampai padaku seperti yang engkau lihat, sedangkan aku memiliki harta dan tiada yang mewarisiku melainkan anak perempuanku, bolehkah aku mensedekahkan 2/3 hartaku?
Beliau bersabda : Tidak.
Aku berkata : Separuhnya?
Beliau menjawab : Tidak.
Aku Berkata : sepertiga?
Beliau menjawab : Sepertiga dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya jika engkau meninggalkan warismu kaya lebih baik dari kau meninggalkan mereka miskin meminta2 dari tangan orang ramai. Dan engkau sekali2 tidak menafkahkan satu nafkah yang engkau harapkan wajah Allah dengannya melainkan engkau akan diberi pahala atasnya, walaupun sesuatu yang engkau suapkan kedalam mulut isterimu.))

Imam al-Bukhary meriwayatkan lafaz diatas dalam Kitab Orang2 Sakit ( المرضى) dibawah bab yang beliau namakan :

Bab : Dirukhsahkan bagi seorang yang sakit berkata : "Aku sakit", atau "Aduhai kepalaku "atau K"uat sungguh sakitku" dan kata2 Ayyub a'laihissalam : " Sesungguhnya aku ditimpa kemudaratan (sakit) dan Engkau adalah Arhamur Rahimin ".

Beliau juga meriwayatkan hadith ini dengan lafaz sedikit berbeza dalam :

Bab : Meninggalkan waris kaya lebih baik dari meninggalkan mereka meminta2 manusia

Dalam riwayat ini Sa'ad ibn Abi Waqqas r.a berkata :
Wahai Rasulullah! Bolehkan aku mewasiatkan keseluruhan hartaku?
Tidak.

Beberapa Faidah :
 
1) Kisah ini berlaku dalam Haji Wada' menurut semua riwayat dari Imam Zuhry. Adapun Ibnu U'yainah berkata : “ Dalam Fathu Makkah “. Kedua2nya berlaku pada akhir2 zaman kenabian. Samada satu atau dua tahun sebelum wafatnya Rasulullah SAW. Ini menunjukkan bahawa hukum wasiat ini adalah hukum terakhir.

2) Beliau memiliki harta yang banyak. أنا ذو مال

a) Ini dalil boleh mengumpulkan harta asalkan dari yang halal dan dikeluarkan hak harta seperti zakatnya. 
b) Ini juga dalil bahawa tetap diwajibkan membahagikan harta yang banyak secara faraid. Walaupun ahli waris akan menjadi kaya raya. Walaupun disana ada fakir miskin yang memerlukan selagi beliau telah melaksanakan kewajiban zakatnya.

c) Walaupun secara adatnya jika harta banyak contohnya $1 juta, 1/3 atau setengah atau 2/3 sekalipun yang ditinggalkan masih banyak, ia  tidak akan mengakibatkan ahli warisnya menjadi miskin meminta2 sedekah, wasiat ini  tetap dilarang. Ini disepakati ulama.

3) ((  ولا يرثني إلا ابنة لي )) "Tiada yang mewarisi aku melainkan anak perempuanku."  Dalam hadith ini waris beliau dari anak2nya ketika itu hanya anak perempuannya yang akan mengambil bahagian yg ditetapkan secara fardh. Ikut Faraid beliau mendapat setengah hartanya. Sebenarnya ini dalil bahawa Sa'ad r.a tidak khawatir keadaan kewangan anak perempuannya. Ibnu Hajar menyebutkan bahawa kemungkinan beliau yakin bahawa akan ada orang yang melamar anaknya. Bila dia menjadi isteri orang kelak dia tidak perlu harta pusaka. Ini juga dalil bahawa larangan mewasiatkan lebih 1/3 dalam hadith ini umum.

4) (( أفأتصدّق )) Beliau ingin sedekahkan hartanya. Dalam riwayat lain : “ Apakah boleh aku wasiatkan semua hartaku ?” Ertinya harta ini akan diterima oleh fakir miskin selepas kematian beliau. Inilah makna  kalimat "sedekah" dalam beberapa riwayat. 

Hukum sedekah/Hibah ketika sakit kuat?

Walaubagaimanapun  ulama berpendapat jika seorang yang sakit kuat mensedekahkan hartanya ia dianggap seperti sedekah selepas mati. Maka hukumnya adalah wasiat, hanya 1/3 sahaja yang akan diluluskan dan kepada bukan waris.

Dalil yang juga dipegang oleh mereka adalah hadith ini :

أن رجلا من الأنصار أعتق ستة أعبد له عند موته ، ولم يكن له مال غيرهم . فبلغ ذلك النبي صلى الله عليه وسلم ، فقال : له : قولا شديدا . ثم دعاهم فجزأهم ، ثم أقرع بينهم . فأعتق اثنين ، وأرق أربعة 

 Hadith I'mran bin Hushain r.a tentang seorang lelaki  Ansar yang memerdekakan enam hamba ketika sakit matinya, sedangkan dia tidak memiliki harta lain selain mereka. Hal ini sampai kepada Nabi SAW lalu beliau  memarahinya dengan kata2 yang keras, kemudian Nabi SAW memanggil hamba2 itu dan mengundi mereka, beliau memerdekakan 2 dan memperhambakan empat. ( Sohih riwayat Tirmidzy, Abu Daud juga Syafiey dlm Ikhtilaf al-Hadith dari Sa'id ibn Musayyab )

Maka Nabi SAW menjadikannya sebagai wasiat,1/3 sahaja sedekahnya yang diluluskan.

Hadith ini dalil bahawa setiap harta yang diterima selepas mati hukumnya hukum wasiat. Ia adalah hak waris.  Sebabnya jelas kerana keadaan kesihatan orang yg bersedekah itu seperti orang bersedekah selepas mati. Besar kemungkinan harta sedekahnya hanya akan diterima selepas mati. Ini dari katamata syara'. Syara' tidak  hanya melihat bila sedekahnya itu diijab qabulkan. Syara' juga melihat bila harta itu akan diserahkan.

Ini adalah sebesar2 hujjah menolak apa juga percobaan penyerahan harta yang akan diterima selepas mati. Jika sedekah yang dilakukan ketika sakit kuat yang belum 100% akan membawa kepada kematian dikira sebagai penyerahan selepas mati, bagaimana dengan sedekah yang pasti penyerahannya selepas mati! Bagaimana dengan CPF, Hibah Ruqba, Nuzriah?

Nabi SAW bukan hanya membatalkan sedekah itu dihadapan beliau, baginda juga telah memarahi lelaki itu dengan keras. ( قولا شديدا ).

Bahkan sebahagian ulama mejadikan hadith I'mran ini dalil bahawa tidak perlu menunggu izin ahli waris. Sebab Nabi SAW tidak melakukannya.

4) Makna :((  الثلث كثير   ))" Sepertiga adalah banyak" :

Disini ada tiga tafsiran dinukilkan oleh Ibnu Hajar rhm : 

a) 1/3 boleh tetapi lebih baik dikurangkan darinya, dan tidak boleh melebihinya. Ini pendapat Ibnu Abbas. Beliau berkata : “ Kalaulah orang-ramai mengurangkan wasiat mereka menjadi ¼. Kerana Rasulullah SAW bersabda : 1/3, dan 1/3 itu banyak. “ [ Bukhary ]
b) 1/3 paling sempurna, iaitu banyak pahalanya
c) 1/3 itu banyak bukan sedikit. Ini pendapat Imam Syafiey.

Hikmah larangan mewasiatkan lebih 1/3.

Ia akan membatalkan hukum Faraid. Faraid disyariatkan untuk memelihara hak dan maslahat ahli waris.  Jika pada awal Islam saudara seIslam mewarisi antara satu sama lain, ia dimansukhkan oleh Faraid, dan alasannya kata Allah ulul arham lebih layak ( أولى  ). Kita juga dapati bahawa Syariat telah membenarkan seorang itu mewasiatkan sebahagian hartanya. Ia adalah kurnia Allah sebagai peluang terakhir untuk dia mendekatkan dirinya dengan Allah.

Oleh itu perlu ditetapkan batasan yang adil antara keperluan ahi waris dan keperluan simati ( wasiat).

Tujuan orang yang ingin mewasiatkan harta adalah agar dia dapat melakukan satu taqarrub kepada Allah sebelum kematiannya dengan bersedekah. Maka Nabi SAW telah menerangkan bahawa jika niatnya adalah ikhlas kerana Allah, tiada bezanya dia meninggalkan warisnya kaya dengan pusaka, ini sedekah  yang dapat pahala, jika dia sembuh dari sakitnya dia boleh bersedekah dan mengeluarkan nafkah untuk tanggungannya, ia juga sedekah jika dia niatkan kerana Allah. Walaupun yang dia suapkan kepada isterinya.

Ini menolak dakwaan mereka bahawa maslahat zaman sekarang adalah bersedekah lebih dari 1/3 kepada mereka yang lebih memerlukan.

Sa'ad bin Abi Waqqas r.a ikhlas menginginkan pahala yang lebih banyak dengan lebih banyak bersedekah, tetapi dilarang oleh syara'. Ini menunjukkan maslahat ini tidak diambil kira oleh syara'.  Harta banyak yg ditinggalkan untuk waris adalah sedekah. Bahkan lebih baik dari diberikan kepada orang luar.1/3 pun sudah banyak. Atau ikut tafsiran lain 1/3 pun sudah paling sempurna, atau sudah banyak pahalanya.

Yang hairannya ada segolongan orang yang menghibahkan atau menuzriahkan lebih 1/3 kepada bukan waris. Bayangkan isteri sendiri mendapat faraid ¼ jika tiada anak tapi dihibahkan ¾ kepada “ jiran yang susah “ atau "anak angkat". Jika dilihat fatwa CPF, ia membolehkan seluruh harta CPF dihibahkan sebagai wasiat.  Mengikut Hibah Ruqba dan Nuzriah juga tiada had. Fatwa ini tidak lain melainkan mengatakan 1/3 yang dihadkan Rasulullah SAW tidak mencukupi. Bahkan ada peguam yang secara terang2an berkata demikian. Jelas ini melawan kata2 Nabi SAW, 1/3 sudah banyak. Nabi kata tidak boleh, mereka kata boleh. 

Inilah hikmah terbesar syariat membataskan wasiat kepada sepertiga dan digalakkan mengurangkannya kepada 1/4 sebagaimana yang sah dari pendapat Ibnu Abbas r.a,  bahkan menurut Abu Bakar as-Siddiq r.a beliau redha mewasiatkan 1/5 kerana Allah reda bahagian itu untuk diriNya dalam pembahagian harta ghanimah.

Yang benar jika seseorang tidak mewasiatkan harta untuk disedekahkan juga tidak berdosa. Wasiat harta dalam makna ini tidak wajib.

Hukum wasiat telah dimansukhkan. 

Berkata Imam al-Bukhary rhm :

Bab : Tiada Wasiat untuk Waris.

كان المال للولد و كانت الوصية للوالدين, فنسخ الله من ذلك ما أحب فجعل للذكر مثل حظ الأنثين, و جعل للأبوين لكل واحد منهما السدس, و جعل للمرأة الثمن و الربع, و للزوج الشطر و الربع.

Dari Ibnu Abbas : (( Pada awalnya harta simati diwarisi oleh anak2 sahaja, wasiat ( wajib ) untuk kedua ibu bapa, maka Allah telah memansukhkan dari yang demikian apa yang Allah kehendaki, maka dijadikan untuk lelaki 2 bahagian perempuan, untuk setiap dari kedua ibu-bapa seperenam, untuk perempuan seperlapan dan seperempat, dan untuk suami separuh dan seperempat.))

Hadith ini memiliki hukum marfu'. Ia tafsiran kedudukan hukum wasiat berbanding hukum Faraid. Imam  al-Bukhary ingin mengatakan jika tidak boleh mewasiatkan untuk ibu-bapa  yang memang akrab hubungannya, apalagi waris lain. Ibn Hajar rhm telah membahaskan masalah apakah wasiat wajib atau tidak. Antara dalil lain bahawa wasiat tidak  lagi wajib  adalah ijma' ulama bahawa harta seseorang akan difaraidkan kesemuanya walaupun beliau meninggal dunia tanpa wasiat.

Nabi Saw juga tidak mewasiatkan harta. Dalilnya adalah riwayat al-Bukhary ini :

(( Dari Tolhah bin Musarrif aku bertanya Abdullah bin Abi Aufa r.anhuma :Apakah Nabi SAW telah membuat wasiat (harta)?
Tidak.
Maka aku berkata : “ Bagaimana wasiat diwajibkan atas manusia atau mereka diperintahkan berwasiat?
Beliau menjawab : Beliau telah berwasiat dengan kitabullah. ))

Allah telah berikan semua yang berhak, hak mereka

عن أبي أمامة :سمعت رسول الله صلى الله عليه و سلم يقول في خطبته في حجة الوداع :(( إن الله قد أعطى كل ذي حق حقه, فلا وصية لوارث)) قال الترمذي حديث حسن

Dari Abu Umamah r.a : (( Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda dalam khutbahnya dalam Haji Wada, Sesungguhnya Allah telah memberikan setiap yang berhak haknya, maka tiada wasiat untuk ahli waris. ))

Imam Syafi'ey telah berkata bahawa hadith ini mutawatir maknanya.

Sekali lagi hadith ini berlaku ketika Haji Wada'.

Jelas jika Allah telah berikan settiap orang haknya, dia tidak berhak menerima yang bukan haknya. Hadith ini juga dapat difahami bahawa waris2 yang terhalang (  محجوب ) seperti adik beradik dari pusaka simati sebenarnya telah diberikan haknya dari pusaka lain. Semuanya diberikan haknya dengan adil.

Maka bagaimana seseorang boleh menamakan anak atau isteri sebagai nominee CPF atau insurans? Tentu  kita ada terbaca cereka2 khayalan mereka, isteri tidak dapat haknya, anak bongsu yang berjasa tidak dapat haknya.  Mungin juga ia bukan rekaan, tetapi datang dari individu2 yang kurang faham hak warisannya. Akhirnya mereka menawarkan khidmat ikhlas mereka untuk mendapat 'hak' orang2 yang "'teraniaya 'ini. Mari dibuatkan wasiat hibah, wasiat nuzriah, nomination CPF... ! Apakah mereka tidak faham bahawa Allah telah berikan setiap waris haknya? 

Mereka terlupa bahawa dahulu isteri2 tidak mewarisi apa2, bahkan isteri bapa pada zaman jahiliyyah adalah barang warisan, dibahagi2kan kepada anak2 tirinya atau keluarga suami.

Mereka terlupa bahawa wanita tidak diwajibkan menanggung sesiapa. Hatta anak kecilnya sendiri. Jika dia mahu dia boleh meminta suaminya membayar ongkos menyusukan anaknya. Nafkah anaknya adalah tanggungjawab bapanya. Bahkan seorang wanita tidak perlu menanggung dirinya sendiri !  Dari kecil hingga matinya Allah telah wajibkan orang lain menyediakan tempat tinggal dan menanggung nafkahnya.

Apakah hukum mewasiatkan kepada waris atau lebih dari sepertiga?

Sebenarnya jika  kes diatas dirujuk kepada Mahkamah yang berhukum dengan hukum Syariah, wasiat  kepada waris ini akan ditolak. Jika wasiat itu lebih dari sepertiga ,jumhur ulama akan meminta izin waris apakah mereka redha meluluskannya atau tidak.

Masalah kita adalah jika mahkamah tidak mengikut Syariah. Apakah wasiat itu menjadi halal? Rasanya  perlu diingatkan bahawa sesuatu yang dihukum oleh hakim yang jelas diketahui bertentangan dengan Syariah tetap haram disisi Allah. Hatta jika yang menjadi hakim itu adalah Rasulullah SAW.

Sabda Nabi SAW : 

إنما أنا بشر ، وإنكم تختصمون إلي ، ولعل بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض ، وأقضي له على نحو مما أسمع ، فمن قضيت له من حق أخيه شيئا فلا يأخذ ، فإنما أقطع له قطعة من النار

Aku hanya seorang manusia, dan kamu datang kepadaku untuk aku hakimi antara kamu, kemungkinan ada diantara kamu yang lebih fasih hujjahnya dari lawannya, maka aku hukum menurut apa yang aku dengar, barangsiapa yang aku hukumkan untuknya sesuatu dari hak saudaranya, maka jangan dia ambil, kerana sesungguhnya aku hanya memotong untuknya satu potongan dari api neraka. [ al-Bukhari : 6967 ]


Hadith diatas diletakkan oleh Imam al-Bukhary dibawah Kitab Tipu2 Helah.

Berkata Ibn Abbas : (( Menganiaya ( idhrar) dalam wasiat termasuk dosa besar. )) [ Mauquf dgn sanad sohih :Fathul Bari]
Alangkah ruginya seorang yang sepanjang hayatnya taat kepada Allah, tiba2 pada akhir hayatnya menulis satu wasiat yang haram. Pada penulis sebaik2 wasiat adalah wasiat yang isinya agar ahli waris bertaqwa kepada Allah, diuruskan jenazahnya mengikut sunnah, diterangkan hutang2 yang belum dibayar, kewajiban2 agama yang belum ditunaikan, diwasiatkan agar dibahagikan harta pusakanya menurut Kitab Allah.

Jangan hanya diminta nasihat peguam atau konsultan kewangan ketika menulis wasiat, tanyalah sebelum itu nasihat ulama apakah wasiat yang diwajibkan, apakah yang disunnatkan apakah yang diharamkan...

Wallahu Waliyyu at-Taufiq

4 comments:

  1. jazakallahu khayr ustaz.

    Quote: "Bahkan seorang wanita tidak perlu menanggung dirinya sendiri! Dari kecil hingga matinya Allah telah wajibkan orang lain menyediakan tempat tinggal dan menanggung nafkahnya."

    Pernah keluar di akhbar sepotong alasan bahawa mengikut realiti masakini, orang sekarang dah tak melaksanakan kewajipan menanggung wanita, maka perlu berwasiat/nuzriah/hibah.

    Apakah ada jalan keluar lain selain dari membelakangkan syariat dan berwasiat/nuzriah/hibah?

    ReplyDelete
  2. Jalan keluar untuk semua masalah ummat adalah kembali kepada agama mereka, ikut sunnah nabi mereka. Islam satu sistem lengkap, tidak harus diambil sebahagian ditinggalkan sebahagian. Membelakangkan syariat lalu mendakwa islah tidak berbeza dengan orang yg berkata : " Innama nahnu muslihun " Mereka itulah perosak tetapi mereka tidak menyedarinya.

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum. minta alamat email ustadz. ana tidak liat di atas. Belum pernah taklim di Hang Batam?

    ReplyDelete
  4. murad_said@yahoo.com

    Pernah sekali diHang mungkin 2 tahun lalu.

    ReplyDelete