Monday, December 6, 2010

Puasa Bulan Muharram

Didalam Sohih Muslim Kitab Saum Bab Kelebihan Bulan Muharram, (1163) Sunan Abu Daud Bab Puasa Muharram (2429), Jami' Tirmidzy Bab Apa yang diriwayatkan tentang Fadilat solat malam( 438)

أفضل الصيام بعد رمضان شهر الله المحرم وأفضل الصلاة بعد الفريضة صلاة الليل

(( Sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadan adalah dibulan Allah, al-Muharram, dan sebaik-baik solat selepas solat fardu adalah solat malam )) ( lafaz Muslim )

Didalam lafaz lain (( ...yang kamu panggil al-Muharram ))

Didalam hadith Nabi diatas boleh kita ambil beberapa fawaid:
 
1) Kelebihan bulan Muharram kerana Nabi SAW menamakannya " bulan Allah " iaitu sandaran memuliakan (  إضافة التشريف) seperti Rumah Allah, Hari2 Allah, Unta Allah dll.

2) Kelebihan berpuasa dalam bulan Ramadan iaitu tiada puasa lebih afdhal darinya kerana ia adalah puasa fardu. Oleh itu hendaklah seseorang yang ingin mendekatkan dirinya kepada Allah menyempurnakan ibadah fardu dahulu barulah diikuti dengan ibadah2 sunat.

3) Puasa sunat berbeza2 derajatnya disisi Allah disebabkan hari2nya walaupun mungkin secara lahiriahnya sama iaitu menahan lapar dan dahaga serta perkara2 lain yang membatalkan puasa.

4) Allah azza wa jalla yang menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memilih serta memuliakan sebahagian ciptaanNya atas yang lain. Ini bertepatan dengan firman Allah ((   و ربك يخلق ما يشاء و يختار))
(( Dan Tuhanmu mencipta apa yang Dia kehendaki dan memilih...))

5) Kemuliaan tempat dan hari adalah urusan Allah, tidak boleh menggunakan akal-akalan untuk mengatakan hari ini hari yang mulia, tempat ini tempat yang mulia melainkan dengan dalil. Apalagi mengkhususkan hari2  tertentu dengan ibadah2 khusus dengan tanpa dalil. Perhatikan bahawa yang dikhususkan dalam bulan Muharram ini adalah puasanya bukan semua ibadah.

6) Disyariatkan agar berpuasa dalam bulan Muharram dengan niat beramal dengan hadith Nabi ini secara khusus. Ia adalah puasa sunnat mutlak yang terbaik. Ulama ada membahaskan apakah ia juga lebih afdhal dari puasa 6 dalam bulan Syawwal dan puasa Arafah yang pahalanya menghapuskan dosa 2 tahun?

Imam Ibnu Rajab rhm  mengatakan dalam " Lataif Ma'arif " bahawa maksud hadith ini adalah puasa sunnat yang mutlak yang tidak terkait dengan puasa wajib ( Ramadan ) atau puasa lain yang memiliki nas menerangkan fadilat yang khusus tentangnya. Maka puasa sunnat mutlak dalam bulan Muharram lebih afdhal dari berpuasa dalam bulan2 lain. Ia lebih afdhal hatta dari  bulan Sya'ban yang mana terdapat hadith yang sohih bahawa (( Rasulullah SAW biasa puasa bulan Sya'aban keseluruhannya melainkan sedikit )) .

7) Zahir hadith menunjukkan bahawa adalah disunatkan memperbanyakkan berpuasa hari2 dalam bulan Muharram bahkan keseluruhannya. Berkata Syaikh al-Bulaihid ini adalah pendapat jumhur ulama. Dikalangan masyaikh kontemporari yang berpendapat demikian adalah Syaikh Abdul Aziz bin Baz rhm. Nabi SAW tidak mengkhususkan fadilat puasa ini kepada sebahgian bulan. Syaikh ibn Uthaimeen rhm pula berpendapat yang disunnatkan adalah berpuasa kebanyakannya bukan semuanya. Sandaran beliau adalah hadith bahawa (( Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa sunat sebulan penuh kecuali bulan Ramadan )). [ Muslim ] Namun beliau menginkari mereka yang berkata orang yang berpuasa seluruh Muharram adalah mubtadi'. Pandangan ana pembahasan masalah ini seharusnya sama seperti pembahasan puasa 1-9 Dzil-Hijjah dimana terdapat galakan umum dan penafian perbuatan Nabi SAW. 

8) Bulan Muharram adalah nama yang dikenali oleh orang2 Islam. Nabi SAW tidak menyentuh tentang bilakah bulan Muharram, iaitu selepas bulan Zul-Hijjah, beliau juga tidak mengubah namanya tetapi mentaqreerkannya. Beliau hanya menyentuh tentang seseuatu yang belum diketahui oleh sahabat, iaitu kelebihan berpuasa dalamnya. Terdapat pembahasan apakah nama " al-Muharram " ini telah wujud pada zaman Jahiliyyah atau baru dinamakan dalam zaman Islam. Dikatakan bahawa nama jahiliyyahnya adalah " Safar Awal ". Bahkan dikatakan bahawa Muharram adalah satu2nya nama bulan yang timbul dizaman Islam.  Demikian disebut oleh Suyuty dll. Syaikh Bakr bin Zaid rhm telah mentarjihkan bahawa ia adalah namanya dari zaman Jahiliyyah lagi  sebagaimana terdapat sebutannya oleh Nabi dalam khubah Haji Wada'. Penukaran namanya akan mengakibatkan kekeliruan kepada orang2 Arab yang datang dari jauh. [ Mu'jam Manahi Lafziyah : 341].

9) Solat sunat yang paling afdhal adalah qiyamul-lail. Imam Nawawy menguatkan keumuman hadith ini iaitu ia lebih utama dari solat siang walaupun solat rawatib. Ibnu Rajab rhm pula mengatakan yang dimaksudkan disini adalah selain solat rawatib ( qabliyah dan ba'diyah ) yang mengiringi solat Fardu, seperti dalam masalah puasa. Iaitu solat tahajjjud dan witir. Dan kelebihan ini tidak khusus kepada bulan Muharram. Keistimewaan solat malam amat banyak sekali, terdapat kitab2 yang ditulis khas tentangnya.

10) Apakah disunatkan solat sepanjang malam atau makruh? Didalam hal ini terdapat larangan Nabi SAW dari terus menerus solat malam dan tidak tidur, iaitu hadith sahabat yang bersumpah tidak mahu tidur untuk solat selamanya setiap malam. Diakhirnya Nabi SAW bersabda : (( Siapa yang berpaling dari sunnahku maka dia bukan dariku. )) Hadith yang masyhur muttafaq a'laihi. Bahkan Nabi SAW mengatakan bahawa beliau sendiri solat sebahagian malam dan tidur sebahagiannya. Ini juga adalah antara dalil bagi mereka yang memakruhkan puasa bulan Muharram keseluruhannya. Namun hujjah ini dapat dijawab bahawa yang dilarang adalah solat sepanjang malam secara berterusan kerana ingin berlebih2an dalam agama sebagaimana yang terdapat dalam awal hadithnya. Ia bagi mereka yang tidak kuat beristiqamah lalu memberatkan hingga akhirnya meninggalkan solat malam atau kemudian meninggalkan kewajiban2 pada siang hari. Rasulullah SAW telah bersabda : (( ...dan apabila seseorang solat sendirian, hendaklah dia memanjangkan sesuka hatinya )) [ Muttafaq a'laihi diambil dari risalah Qiam Ramadhan oleh Albany. ] Terdapat juga dalil bahawa bahawa zahirnya Rasulullah SAW telah menghidupkan seluruh 10 malam2 terakhir Ramadhan. Syaikh Albany rhm berkata dalam risalah itu bahawa seorang insan tidak seharusnya menghidupkan malam keseluruhannya melainkan kadang2 sahaja. 

Bagi mereka yang membaca biografi sahabat dan salaf akan mendapati riwayat2 sebahagian mereka telah menghidupkan seluruh malam bertahun2 lamanya, mereka solat Subuh dengan wudhu Isya', antaranya Uthman bin Affan dalam kitab Hilyah Abu Nuaim, dikalangan tabien contohnya Abu Hanifah dan Saied bin Jubair.  Husnuz Zhon kepada mereka adalah mereka bukan sengaja menyalahi sunnah Nabi SAW dalam bab ini tetapi memahami bahawa ia kembali kepada kekuatan masing2 individu selagi tidak memudaratkan. Mereka juga tidak menjadikan perbuatan mereka sesuatu ikutan untuk orang ramai. Ia dilakukan dirumah bukan dimasjid. Terdapat hadith2 umum bahawa " Beribadahlah menurut apa yang kamu kuat, sesungguhnya Allah tidak jemu sehingga kamu jemu. " Adapun qiyas puasa dengan solat, ia boleh dijawab bahawa jika disunatkan solat sunat setiap malam, maka begitu juga disunatkan puasa setiap hari melainkan puasa 'dahr', iaitu sepanjang tahun. Terdapat hadith sohih : (( Tidak berpuasa seorang yang puasa sepanjang tahun ))  Ini juga masalah diperselisihkan oleh ulama. Disini bukan tempat pembahasannya. Namun seperti kata Imam ad-Zahaby rhm selepas meriwayatkan ibadah sebahagian salaf yang luarbiasa ini : " Namun sebaik2 petunjuk adalah petunjuk Nabi SAW ".
Adapun kebanyakan kita pada zaman ini jika mampupun hanya mengamalkannya sekali sekala yang insya Allah terkeluar dari bahaya melampau2 dalam agama..

Ini ringkas fawaid hadith ini, pelajaran utamanya jelas, agar mengkhususkan puasa dibulan Muharram sebanyak2nya mengikut kemampuan seseorang untuk merebut pahalanya. Terdapat juga galakan agar berpuasa pada hari kesepuluhnya iatu hari Aasyura' didalam hadith lain. Hal ini rasanya maklum diketahui ramai. Adapun ibadah2 lain secara khusus, seperti memberi sedekah mengagihkan bubur asyura' atau doa awal akhir tahun, menyapu kepala anak yatim, umrah khusus, ceramah peringatan Hijrah dbsg, para pentahqiq seperti Ibnu Taimiah rhm telah berkata bahawa beliau tidak bertemu hadith yang boleh dijadikan pegangan. Tiada perintah dari Nabi SAW mahupun perbuatan atau taqreer. Maka adalah sunnah  tarkiyyah meninggalkan amalan2 ini dalam konteks mengiktiqadkan kononnya ada kelebihannya yg khusus dalam bulan Muharram yang mulia ini. Agama ini telah sempurna, tiada perkara yang baik yang mendekatkan diri seseorang kepada Allah melainkan pasti telah disampaikan oleh baginda.

Bagi mereka yang mengambil berat men'tasfiyah' amalan2nya inilah peluang yang dinanti2kan. Jadilah kita orang2 yg jujur bila berkata :
((  لو كان خيراً ما سبقونا إليه ))

(( Jika ia adalah baik tentu mereka tidak akan mendahului kami melakukannya ))

Wallahu Waliyyu at-Taufiq

No comments:

Post a Comment