Thursday, April 21, 2011

Pandangan Status Ibu Bapa Nabi SAW : Satu penelitian (1)


Imam Muslim rhm meriwayatkan dengan sanadnya sampai kepada Anas Bin Malik r.a : (( Sesungguhnya seorang lelaki berkata : Ya Rasulullah ! Dimanakah bapaku? Baginda bersabda : " Di dalam neraka." Tatkala lelaki itu berpaling, baginda memanggilnya dan berkata : " Sesungguhnya bapaku dan bapamu di dalam neraka. " ))

http://www.jais.gov.my/rnd/2010/jun/PandanganStatusIbuBapaNabi.pdf 

PENCACATAN HADITH

Saya katakan : apa yang cuba dilakukan oleh yang berhormat Bahagian Penyelidikan Jabatan Islam adalah mencacatkan riwayat Imam Muslim ini dengan riwayat dari jalur Ma'mar ( sebutannya bukan Mu'ammar ).Ini dinamakan dalam istilah ulama hadith sebagai menta'leelkan riwayat. Dijadikan mukhalafah perawi dengan perawi yang lebih kuat sebagai i'llah ( penyakit ) yang halus yang mencacatkan. Bab i'llah ini termasuk bidang ilmu hadith yang paling sulit, hanya para ulama yang pakar yang mampu membicarakan tentangnya. Terdapat beberapa imam yang mahir lagi masyhur dalam bidang ini antaranya Imam Ayyub as-Sakhtiyany, Malik, at-Tsaury, Syu'bah, Ibnu U'yaynah, al-Qattan, Ahmad, Yahya bin Ma'een, Bukhary, Ali ibnul Madeeny, Abu Hatim, Abu Zur'ah, Tirmidzy, Ibnu Hibban, ad-Daraqutny dll. Namun jangan lupa bahawa Imam Muslim sendiri termasuk imam dalam bidang ini. Kitab Tamyiz adalah kitab i'lal beliau yang menyaksikan keimamannya. Berkata murid  beliau Ahmad bin Salamah rhm : " Aku melihat Abu Zur'ah dan Abu Hatim mendahulukan Muslim bin al-Hajaj dalam ma'rifah sahih/hadith berbanding masyaikh dizaman mereka. " [ Muqaadimah Nawawy utk Muslim ]

Menolak sebuah hadith dalam kitab sohih Muslim bukan perkara kecil, kitab ini telah disepakati oleh para ulama, berkata Imam Muslim rhm : " Aku tidak meletakkan sesuatu dalam kitabku melainkan dengan hujjah, dan aku tidak meninggalkan sesuatu darinya melainkan dengan hujjah." ( Muqaddimah Muslim ). Dan beliau telah berkata : " Aku tidak memasukkan dalam kitab ini melainkan yang mereka ijma' atasnya " [ Muslim, Kitab Solat, Bab Tasyyahud fis Solat ] Berkata Syaikh Masyhur al-Salman selepas menyebutkan beberapa takwilan, : " Iaitu menurut qawaid yang dilalui oleh para ulama dan beliau (Muslim) yakini kesahihannya. "

Hadith Anas ini adalah hadith usul dalam kitab beliau, bukan syawahid atau mutabaat. Ertinya ia adalah hadith yang disohihkan oleh Imam Muslim.

Perkara yang memusykilkan dari tulisan diatas adalah, siapakah sumber kata2 mereka? Siapakah imam salafnya? Menurut kajian penulis, tidak terdapat seorangpun ulama mutaqqadimin yang menolak hadith ini sedangkan hadith ini juga diriwayatkan oleh Imam2 hadith yg tersohor,

1) Ahmad bin Hanbal dalam musnadnya
2) Abu Daud dalam sunannya
3) Abu A'wanah dalam Mustakhrajnya
4) Ibnu Hibban dalam Sohihnya
5) Ibnu Mandah dalam kitab Imannya
6) Ibnu Ya'la dalam Musnadnya
7) al-Baihaqy dalam Sunan al-Kubra dan Dalail Nubuwwah
8) Al-Jauraqany dalam Abatil dan Manakir dan beliau berkata hadith ini sohih.

Tidak seorangpun nuqqad ( peniliti) hadith yang diketahui mencacatkan hadith ini, hatta Imam Daraqutnyy rhm yang mengarang kitab ' Ilzamat wa Tatabbu' ' sebuah kitab yg meniliti secara teliti akan apa2 kecacatan dalam kitab Sohih Bukhary dan Muslim, tidak menyebut hadith ini dalam senarainya.

Bahkan kita dapati bahawa para ulama hadith telah menerima hadith sohih ini seperti Imam Bayhaqy rhm dan Imam Nawawy, begitu juga imam Qurtuby guru Imam Qurtuby al-mufassir dalam Mufhimnya, al-Khattaby ketika mensyarahkan sunan Abu Dawud, Ibnu Kathir dan lain2 lagi. Akan dibentangkan nukilan2 ini insya Allah.

SANAD IMAM MUSLIM UNTUK HADITH

Imam Muslim telah meriwayatkan hadith dari :
1) Abu Bakar ibnu Abi Syaibah al-Kufi: guru Muslim seorang Tsiqah Hafiz
2) A'ffan bin Muslim Al-Bahily al-Basry : Tsiqah Tsabt.
3) Hammad Bin Salamah al-Basry : Tsiqah A'bid orang yang paling mantap riwayatnya dari Tsaabit ( al-Bunaany ) hafalannya berubah diakhir hayatnya
4) Tsaabit bin Aslam al-Bunaany al-Basry : Tsiqah A'bid
5) Anas bin Malik r.a : sahabat

Keadaan perawi diatas diambil dari hukum Ibnu Hajar al-Asqalany rhm dalam Taqreebnya. Ini hanya pengenalan bagi pembaca yang  mungkin tidak biasa dengan sanad Imam Muslim. Bagi yang arif, melihatnya sahaja mereka kenal.

Kata2 Ibnu Hajar tentang Hammad diatas sangat menjolok mata. Apakah Bahagian Penyelidikan terlepas pandang atau tidak mengkajinya?

Oleh itu terpaksa kami katakan bahawa Jabatan telah melakukan sebuah kesilapan  ilmiyah, menta'leelkan sanad yang sohih lagi jelas seperti matahari, dengan riwayat Ma'mar yang lemah. Ketahuilah menta'leelkan riwayat ada syaratnya, hendaklah benar2 terdapat mukhalafah, dan hendaklah dita'leelkan dengan riwayat yang lebih kuat, bukan sebaliknya.!

MA'MAR BIN RASYID

Bahagian Penyelidikan Jabatan Islam telah berkata bahawa Ma'mar bin Rashid :

1) lebih kuat hafalannya dari Hammad kerana tidak mendapat kritikan sedangkan Hammad ada menerima kritikan
2) dipakai riwayatnya oleh kedua2 Bukhary dan Muslim sedangkan Hammad tidak dipakai Bukhary

Seolah2 hal ini tidak diketahui ulama hadith, tidak diketahui Imam Muslim, yang telah mengarang kitab Sohihnya dalam masa 15 tahun. Seolah2 ia tidak pula diketahui oleh Imam al-Bayhaqy, Daruqtny, kemudian Nawawy dan lain2 lagi.

Tiada seorang yang mencacatkannya dengan riwayat Ma'mar . Alasan bahawa seorang perawi tidak digunakan Bukhary tidak mencacatkan hadith. Ini diketahui oleh mana2 penuntut ilmu hadith. Ia tidak bermakna perawi itu tidak 'diyakini ' oleh Imam Bukhary. Kemudian pula kritikan pada perawi tidak semestinya mencacatkan riwayatnya. Sebabnya terkadang kelemahan perawi diketahui dimana, kekuatannya dimana. Imam Muslim telah menyaring riwayat2 para perawinya. Kekuatan Hammad bin Salamah adalah pada riwayat2nya dari guru beliau Tsaabit al-Bunaany. Bahkan beliau adalah murid paling mantap, mengalahkan semua orang termasuk Ma'mar. Maka seharusnya jika ada yang diingin dicacatkan adalah riwayat Ma'mar yang kononnya bersalahan dengan riwayat Hammad. Jika kita ingin gunakan hujjah dangkal, kita katakan, bahkan Bukhari dan Muslim tidak mengeluarkan riwayat Ma'mar ini. Ia tidak 'diyakini ' mereka, oleh itu riwayat Ma'marlah yang seharusnya ditolak.

NUKILAN ULAMA TENTANG KEKUATAN HAMMAD DALAM RIWAYATNYA DARI TSAABIT

Sangat menghairankan tulisan Jabatan tidak menyebutkan kedudukan Hammad yang sebenar. Adakah ini satu penyembunyian (tadlees)? Ataukah ini taqleed?  Elok juga dinukilkan kata2 ulama hadith tentang hal Hammad ini...

قال الإمام يحيى بن معين: "من خالف حماد بن سلمة في ثابت، فالقول قول حماد
 (1)Berkata Imam Yahya bin Ma'een rhm : " Siapa yang menyalahi Hammad bin Salamah dalam riwayat Tsaabit, maka kata2 Hammadlah yang diambil."

وقال الإمام علي ابن المديني: "لم يكن في أصحاب ثابت أثبت من حماد.
(2) Berkata Imam Ali ibnul Madeeny ( guru Imam Bukhary ) rhm : " Tidaklah seorangpun murid Tsaabit yang lebih mantap dari Hammad."

NUKILAN2 TENTANG KELEMAHAN RIWAYAT MA'MAR DARI TSAABIT 

وقال الإمام أحمد بن حنبل – رحمه الله –: "حماد بن سلمة أثبت في ثابت من معمر
(3) Berkata Imam Ahmad bin Hanbal rhm : " Hammad bin Salamah lebih mantap riwayatnya dari Tsaabit berbanding Ma'mar ."
 
وقال يحيى بن معين: "ومعمر عن ثابت ضعيف". وقال: "وحديث معمر عن ثابت،و عن عاصم ابن أبي النجود، وعن هشام بن عروة، وهذا الضرب مضطرب كثير الأوهام

(4) Berkata Yahya ibn Ma'een : " ..dan riwayat Ma'mar dari Tsaabit adalah da'if . " Dan beliau berkata : " Dan hadith Ma'mar dari Tsaabit, A'sim ibn Abi Najuud dan Hisyam Bin U'rwah mudhtorib, banyak wahamnya. "

. وقال العقيلي: "أنكرُ الناس حديثًا عن ثابت : معمرُ بن راشد.

(5) Berkata al-Uqaily rhm : " Orang yang paling munkar riwayatnya dari Tsaabit : Ma'mar bin Rasyid. "[ Du'afa' Uqaily : 2.291 ]

Nukilan2 diatas telah penulis rujuk dalam kitab Tahdzeebul Kamal al-Mizzy[ 7/262 - 264 ] dan Tahdzeebut Tahdzeeb Ibnu Hajar[ 1/481, 483, 4/126 ].

Ini menolak dakwaan bahawa Ma'mar sedikitpun tiada kritikan, hanya Hammad.  Bahkan kritkan terhadap Ma'mar sangat parah dalam riwayat nya dari Tsaabit. Namun hendaklah difahami bahawa kritikan ini tidak menjatuhkan perawi secara total, ia hanya pada riwayat yang tertentu sahaja. Ma'mar tetap seorang yang tsiqah. Beliau adalah perawi Bukhary dan Muslim.

Maka dengan ini fahamlah kita kenapa tiada ulama yang ' menyentuh ' hadith ini. Ia hanya sesuatu yang baru yang diada2kan.

RUMUSAN

Hadith Anas r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda : (( Sesungguhnya bapaku dan bapamu  didalam neraka !))  hadith yang sohih.


bersambung insya Allah

1 comment:

  1. tolong kalau bisa di lanjutkan,karna untuk menghindari ke salah pahaman antar agama dan sesama muslim yg masih lemah iman.

    Terima kasih

    ReplyDelete